Friday, October 31, 2014

Akhawat

                                                                          #akhawat#

Bismillah

Dengan Nama Mu Yang Agung, segala pujian dan kesyukuran hanya UntukMu..Hanya layak bagiMu..

Dengan izin dariNya, dengan ilham dariNya, alhamdulillah..

Sepertinya tidak akan hadir rasa ini jika bukan Dia yang menitipkan
Tidak akan hadir tulisan-tulisan dan aksara-aksara ini jika bukan Dia yang memberi kekuatan..
Maka pujian itu hanya layak bagiNya..
Min Fadhli Rabbi..

Rabitah hati.

Ya.Moga ia dapat menyuburkan hati-hati.
Dapat mengikat kembali hati-hati yang makin longgar dan layu
Dengan ikatan ukhuwwah dan mahabbah
Hanya keranaNya

Khusus saya nukilkan buat semua akhawat
Mungkin tidak terlalu istimewa bagi kalian
Tetapi sangat bermakna untuk saya titipkan satu persatu
Biar segala rasa dapat dimaknai bersama
Biar segala luka dapat kita balut semula
Bersama-sama kita memaknai semula
Erti sebuah kasih sayang keranaNya

Akhawat.

Anugerah terindah yang tidak akan saya lupa hingga akhir nyawa saya.Bersahabat bersama mereka adalah satu anugerah.Satu rahmat dalam sebuah perjuangan mencari Tuhan. Dalam kegelapan jahiliyah diri, ada tangan-tangan yang menghulur. Ada jiwa-jiwa yang kasih. Itu mereka. Sukar untuk saya gambarkan betapa mereka adalah jiwa-jiwa yang terlalu simpati pada manusia-manusia yang berdosa seperti saya. Rasanya Tuhan itu terlalu sayang hingga menghadirkan sosok-sosok yang mulia ini. Pimpin tangan saya menuju cahaya Tuhan.

Dan dalam sebuah perjalanan yang panjang itu, adakalanya saya terjatuh dan tegelincir. Dek kerana terlalu banyak ujian dan cubaan sepanjang perjalanan. Tetapi akhawat di sisi tak pernah jemu membantu. Tak pernah jemu menasihati dan mengkoreksi diri. Hingga saya bangkit semula dan kita teruskan langkah bersama-sama semula. Bila Allah mengirimkan kegembiraan, ia terlalu indah bila kita kongsi bersama. Setiap gelak tawa dan usikan mesra terlalu menghibur jiwa kerana semua diniatkan ibadah keranaNya.

Dalam perjuangan ini, adakala kita tertawa gembira. Banyak masa kita bersedih berduka. dan di saat kita berduka, ada jiwa yang cuba mengerti dan memahami. Banyak juga jiwa yang seolah tidak mengerti lantas menghukumi. Begitulah manusia. Akhawat juga manusia biasa. Yang tak pernah lepas dari dosa. Yang adakalanya iman mereka turun dan naik juga. Yang selalunya terlalu sibuk dengan kerja-kerja di lapangan hingga ada hak-hak yang tidak tertunaikan. Mereka pernah khilaf. Mereka pernah lupa. Mereka juga pernah leka. Di satu masa, mereka seperti malaikat yang tidak pernah berbuat dosa. Dan ada masa-masa yang tidak kita tahu, mereka mungkin tengah berlawan dengan syaitan dalam dirinya.

Lantas kita siapa untuk menghukumi mereka? Apa kita tidak pernah berbuat dosa hingga apabila terlihat secalit dosa mereka, kita berkata mereka tak seperti yang kita sangka? Istighfar sahabat..

Perjalanan ini masih jauh. Dan saya bersyukur dikurniai mereka. Mereka adalah titipan-titipan dari Allah. Mereka adalah ladang amal kita. Sangat boleh jadi, mereka penambah pahala kita dan jangan sampai jadi, mereka penyebab kita terhina di sana. Gara-gara sangak buruk kita pada mereka, hangus habis segala amal yang diniatkan keranaNya. Sungguh, banyak dari prasangka itu hanya dosa.

Teringat saya hadis yang baru saya dengar semalam dari Radio Ikim.
Mafhumnya, tidak ada perkara yang lebih tinggi melainkan kedua perkara ini. Iaitu bersangka baik dengan Allah dan bersangka baik dengan manusia.

Akhawatfillah,
Perjalanan ini sudah kita tempuh bersama. Andai ada jiwa yang terluka kerana sisi-sisi kelemahan dalam diri kita, apalah salahnya kita saling memaafkan. Memaafkan akan membuat jiwa lebih bahagia. Membenci dan mendendami hanya akan membuat jiwa lebih derita dan terseksa. Sulit bukan menguruskan hati? Ya, ia sulit sekali. Tetapi pasti orang-orang yang berjaya mengendalikan hati dengan baik sesuai kehendakNya akan beroleh kenikmatan tiada taranya. Kenikmatan yang dikurniakan Allah pada jiwa-jiwa yang ikhlas dalam pencarian menuju Tuhannya.


Tetaplah bertahan dalam perjuangan yang suci ini. Tetaplah saling menguatkan antara kita dan saling meneguhkan pendirian sesama kita. Islam tidak rugi tanpa kita tetapi yang pasti kita yang akan rugi tanpa Islam. Perjuangan ini baru bermula dan kita tidak tahu bagaimana kita akan berakhir. Baikkah pengakhiran kita atau bagaimana. Sedang mereka telah menunaikan janji mereka pada Tuhan mereka. Dan kita masih menunggu-nunggu bilakah saat kita. Moga bila saat itu tiba, kita masih berada dalam perjuangan yang mulia ini. Insya Allah..

Mohon doa dari kalian..:')